Sunday, April 15, 2012

2 Kita sedang sakit

Kehidupan seharian masyarakat kini seolah berada dalam suatu wabak yang saya andaikan sebagai "Penyakit melabel". Penyakit ini tidak lari dari mahasiswa, ada sahaja benda untuk dilabel mengikut darjat pemikirannya tanpa ada rasa bersalah pun.

Sunnahkah kita jika zikir di lidah ialah, "Ustaz Fulan adalah Qutubiy", "Ana melihat Ustaz ini adalah Hizbiy", "Dia adalah neo-khariji", "Oh! gila pangkat", "Oh! gila jawatan", "Publisiti murahan". Cukup ajaib! golongan ini mampu,atau barangkali telah mencapai darjat untuk melabel orang lain.

Manhaj salafikah kita? jika melabel atau mengaibkan orang lain yang tidak sependapat, sealiran, sefikrah dengan kita? begitu mudah bagi kita melabelkan dengan pelbagai jolokan dan gelaran sedangkan para salaf begitu gerun dengan perbuatan demikian.

Abu Hatim Ibn Hibban mengatakan: “Wajib atas orang berakal untuk sentiasa bebas daripada perlakuan mencari-cari keaiban orang lain, dan sentiasa menyibukkan diri dengan memperelokkan keaiban diri sendiri. Sesungguhnya sesiapa yang menyibukkan dirinya dengan keaiban diri sendiri, dia akan merehatkan badannya dan tidak meletihkan hatinya. Kerana setiap kali dia mengesani suatu aib pada dirinya, dia akan bersikap mudah jika melihat aib yang sama pada saudaranya. Dan sesiapa yang menyibukkan diri dengan keaiban orang lain tanpa mengendahkan aib dirinya, hatinya akan buta dan badannya akan letih”. (Rawdhah al-Uqala)

Manhaj salafikah kita jika tidak ada sifat kesopanan,bijaksana dan warak dalam diri untuk menuturkan keaiban orang lain dan menyebarkan pula di blog-blog atau di wall facebook masing-masing? Syair Arab mengatakan:


المرء إن كان عاقلا ورعا * أشغله عن عيوب غيره ورعه
Jika seseorang itu berakal dan warak,
Kewarakannya akan melekakannya dari aib orang lain.

Manhaj Salafikah kita jika melabelkan ahli-ahli ilmu yang banyak berkhidmat kepada dakwah dengan gelaran yang menyakitkan dan menjauhkan orang dari kebaikan? Di manakah akhlak kita berbanding dengan akhlak tokoh ulama Salaf, Imam Syafie yang mengatakan, “Apabila seseorang mahu berkata-kata maka berfikirkah. Jika ternyata bahawa ia tidak memberi kemudaratan ke atasnya, maka bertuturlah. Jika ternyata bahawa terdapat kemudaratan atau dia ragu-ragu padanya, maka tahanlah (dari bercakap)”. (Syarah Sahih Muslim 2/19) Di manakah kebaikannya dengan melabelkan para ahli ilmu dengan pelbagai jolokan kecuali mengundang keburukan dan kefasadan dalam masyarakat.

Sunnahkah kita apabila kita melabelkan para ilmuan dengan gelaran yang boleh merendahkan pandangan orang lain kepada mereka? Di manakah amalan sunnah kita terhadap hadis Nabi S.A.W yang bermaksud, “Cukuplah sebagai satu keburukan pada seseorang, dengan merendah-rendahkan saudaranya yang muslim”. (Sahih Muslim 4/1986).

Si anak murid pula, jika sudah tahu manhaj gurunya yang tidak menjaga lidah dan tidak warak terhadap ulama, janganlah menyibukkan diri dengan bertanya Tok Guru jenis ini, “Guruku, apa pandangan tuan terhadap Ustaz Fulan?”, “Apakah pula manhaj Syeikh Fulan?”. Para salaf yang sebenar tidak gemar dengan persoalan-persoalan sebegini. Pernah satu hari seorang datang kepada Ibn Abbas dan bertanya, “Mereka menyebut tentang Fulan..”. Lantas Ibn Abbas berkata, “Kalau kamu mahu menyebut aib-aib saudaramu itu, sebutlah aib-aib kamu”. (Syuab al-Iman 9/110)

seruan kepada diri ini juga, agar kita sama-sama memperbaiki peradaban manusia, sikap toleransi perlu ada. Kita punya garis panduan yang amat teliti dalam pertembungan pendapat, dan kita perlu tahu pertembungan pendapat(khilaf) itu bukanlah musibah bagi umat, tapi ianya rahmat. Agar sama-sama bertaubat sebelum terlambat.

Bak kata orang Melayu, “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perkataan buruk padahnya”. Jika sudah terlajak, bersegeralah bertaubat kepada Tuhan.


كتبتُ وقد أيقنتُ يوم كتابتِي … بأنَّ يدي تفنَى ويبقى كتابُها
فإن عملَت خيراً ستُجزى بمثله … وإن عملت شرًّا عليَّ حسابُها

“Aku mencatat sedangkan aku yakin pada hari aku mencatat,
Bahawa tanganku akan binasa, tulisannya jua yang kekal,
Jika tanganku melakukan kebaikan, ia akan dibalas setimpalnya,
Jika ia melakukan keburukan, aku yang akan dihisab”.
petikan artikel daripada http://abuumair1.wordpress.com dengan sedikit olahan.

2 comments:

  1. "..من كان يؤمن بالله واليوم الأخر فاليقل خيرا او ليصمت.."

    ReplyDelete
  2. Saya terbaca komen anda di blog asal artikel ini. Nasihat saya,untuk menjadi lebih amanah dalam pengambilan ilmu, perlu diletakkan sumber sekali. Jika diedit atau diolah, perlu dituliskan seperti ini:

    "Artikel ini telah diambil dari (mana) dengan sedikit pengolahan dan ubahsuai."

    Ibn al-Mubarak berkata: “Sanad itu sebahagian dari agama. Jika tidak kerana sanad, sesiapa sahaja akan mengatakan apa yang disukainya

    Jzkk.

    ReplyDelete

harap anda semua suka posting ini..

followers!

 

Pengalaman Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates